duit diut hehe

Thursday, 28 March 2013

pengganas amal ilmu hitam tetak anggota keselamatan mati ditembak (kg simunul)



LAHAD DATU 28 Mac - Seorang lelaki warga emas dipercayai panglima kepada kumpulan pengganas Kiram dan pengamal ilmu hitam mati ditembak selepas menetak seorang anggota keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan dan pembersihan di sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna dekat sini hari ini.

Lelaki berusia 60-an itu dipercayai pengawal peribadi kepada orang kanan kumpulan pengganas tersebut dikenali sebagai Imam Mas yang ditembak mati dalam pertempuran pada 2 Mac lalu di kampung tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, semasa pasukan keselamatan memeriksa sebuah rumah di perkampungan itu pada pukul 8.20 pagi, secara tiba-tiba lelaki terbabit meluru keluar dari sebuah bilik yang dilihat berkunci dari dalam lalu menyerang dan menetak seorang anggota keselamatan dengan menggunakan parang.

"Anggota pasukan keselamatan kita ditetak dua kali di depan dan belakang tubuhnya. Atas faktor keselamatan, anggota tersebut sempat melepaskan tembakan yang membunuh pengganas itu.

"Anggota pasukan keselamatan itu kita tidak cedera kerana memakai pakaian perisai badan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hamza berkata, pasukan keselamatan turut menahan enam individu, termasuk isteri dan anak perempuan pengganas yang ditembak di kampung tersebut.

Beliau berkata, kedua-dua wanita yang berusia 45 dan 30 tahun itu, termasuk seorang mengalami kecacatan tangan kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala empat suspek lelaki ditahan atas lain-lain kesalahan.

Menurutnya, penangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan di bawah SOSMA ketika ini, meningkat kepada 121 orang dengan 443 tangkapan atas lain-lain kesalahan manakala pengganas ditembak mati pula seramai 68 orang.

Sementara itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, lelaki yang mati ditembak itu merupakan seorang yang sangat digeruni kerana mempunyai kedudukan tinggi dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kampung tersebut, selain aktif dalam aktiviti keagamaan.

"Walaupun aktif dalam aktiviti keagamaan, suspek juga difahamkan turut mengamalkan ilmu hitam dan syirik terutama ramalan nombor ekor," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment