duit diut hehe

Wednesday, 3 April 2013

Akhirnya # Fahrin Ahmad akan kawin tahun depan



SEMENTELAH beberapa kali gagal dalam percintaan, dua daripadanya dengan orang popular, aktor kacak Fahrin Ahmad dilihat begitu selektif dalam membicarakan perihal cintanya.

Walaupun jejaka itu telah menginjak usia 34 tahun, soal cinta dan soal rumah tangga masih menjadi teka teki yang panjang bagi jejaka ini.

Menyedari umurnya yang kian meningkat, mahu tidak mahu, dia terpaksa akur bahawa sudah tiba masanya untuk lebih serius mencari calon suri di hatinya.

Bagaimanapun menurut Fahrin, dia menyangkal desas-desus yang mengatakan bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini memandangkan komitmen terhadap aktiviti seninya yang padat.
Tahun ini saya banyak menjalani penggambaran drama bersiri dan juga filem yang menuntut komitmen yang tinggi terhadap kerjaya.
Bukan itu sahaja, saya juga banyak berulang-alik ke hospital kerana keadaan kesihatan ibu saya yang sakit tulang belakang.

“Disebabkan itu, saya tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal cinta, apatah lagi merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat seperti yang didakwa sebelum ini.

“Akan tetapi, dengan keadaan ibu yang begitu dan menyedari diri ini sudah tua, sudah sampai waktunya untuk lebih fokus memikirkan hal ini pada tahun hadapan, 2014," katanya yang mengakui belum mempunyai calon 
sesuai untuk dijadikan isteri.

Walaupun mempunyai beberapa kenalan wanita yang boleh dikatakan agak rapat, pelakon filem Puaka Tebing Biru itu berkata, mereka hanya sekadar kawan biasa, belum lagi ke tahap bercinta.

Menafikan dirinya begitu memilih, Fahrin menjelaskan calon isteri mestilah wanita yang amat memahami kariernya sebagai selebriti, malah sebagai pelakon khususnya.

“Ini kerana, sebagai pelakon, saya mungkin ditawarkan untuk melakonkan watak-watak yang mungkin boleh mendatangkan rasa cemburu terhadap bakal pasangan saya kelak," ujarnya.

Pun begitu, mengenang kembali episod dukanya bersama Linda Onn dan Scha Al-Yahya yang terputus di pertengahan jalan, Fahrin seboleh-bolehnya mengelak untuk menjalin hubungan sesama selebriti.

“Bukannya serik, tapi pengalaman mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Bagaimanapun, jika golongan artis adalah jodoh yang ditentukan oleh-Nya, saya menerima dengan hati terbuka," jelas anak kelahiran Skudai, Johor itu.

Sepuluh tahun bergelumang dalam dunia lakonan, industri muzik tanah air baru-baru ini dikejutkan dengan penampilan sulung vokal Fahrin di pentas komersial.

Bagi peminat drama Rindu Bertamu Di Abu Dhabi yang sedang ditayangkan di TV3, pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui bahawa Fahrin sendiri yang mengalunkan lagu tema siri berkenaan yang berjudul Siapa Ingin Membawa.

Sebenarnya, jelas Fahrin, lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fedtri Yahya itu dinyanyikannya adalah atas dasar ingin mencuba salah satu cabang seni yang ada selain berlakon dan mengacara.

“Pada awalnya, saya juga tidak menyangka diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu itu. Walaupun agak gusar untuk memikul tanggungjawab tersebut, namun saya mencuba sebaik mungkin melaksanakannya.

“Bagaimanapun, saya bukanlah mahu beralih arah ke bidang nyanyian. Sebaliknya hanya menyahut cabaran untuk menyanyikan lagu tema siri ini.

“Pengalaman ketika merakamkan lagu ini membuatkan saya begitu kagum kepada mereka yang bergelar penyanyi. Ini kerana, proses rakaman lagu bukannya mudah seperti yang dijangka, malah ia sangat rumit dan memenatkan," cerita Fahrin yang juga merupakan pelakon utama siri tersebut di samping Shah Jaszle, Tasha Shilla, Fouziah Gous dan Aiman Hakim Ridza.

Menyentuh mengenai karier seninya, Fahrin memberitahu dia baru sahaja memulakan penggambaran filem Pilot Cafe, arahan pengarah prolifik, Osman Ali, terbitan Tarantella Pictures.

Digandingkan bersama dua aktres jelita, Izara Aishah dan Neelofa, Fahrin menyifatkan filem yang diadaptasi daripada novel popular nukilan Ahadiat Akashah itu bakal mencipta satu lagi fenomena dalam industri perfileman tanah air.

Katanya, kredibiliti Osman dalam mengarahkan filem bertemakan cinta telah terbukti sebelum ini apabila berjaya mengungguli carta box-office menerusi filem Ombak Rindu yang mengutip jualan tiket sebanyak RM10.9 juta.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pemilihannya mendukung watak utama filem berkenaan yang diuar-uarkan terlebih dahulu ditawarkan kepada Aaron Aziz, Fahrin mengatakan dia langsung tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

“Saya tidak tahu-menahu, tidak pernah tahu dan tidak diberitahu (menggantikan tempat Aaron). Rasanya produser adalah individu yang paling tepat untuk mengulas hal tersebut. Saya menerima tawaran untuk menjayakan filem ini pada akhir 2012," katanya ringkas.-utusan


No comments:

Post a Comment