duit diut hehe

Friday, 5 April 2013

Akibat kedekut



APAKAH Islam mengiktiraf sifat kedekut? Apakah akibat bagi manusia kedekut, di dunia dan di akhirat? Harap dapat penjelasan daripada ustaz.
Jawapan:
Terima kasih kerana mengajukan persoalan dan semoga Allah SWT memberikan saya kemampuan untuk menjawab persoalan ini.

Sememangnya tidak dapat dinafikan, sentiasa wujud di celah hati manusia itu satu penyakit yang bernama kedekut. Hakikatnya juga, kedekut adalah salah satu perangai manusia yang berkaitan dengan harta yang telah menghinggapi manusia sejak dari zaman dahulu kala.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang kafir): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu (segala macam nikmat kehidupan) tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut. (al-Isra’: 100)

Lalu, apabila diuji dengan banyaknya harta, maka ada manusia yang tipis imannya akan menjadi manusia yang kedekut. Allah SWT menjelaskan lagi perihal ini di dalam al-Quran yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Alah, dan sesiapa yang berbuat seperti itu, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Maidah: 9)

Oleh itu, Islam memang mengakui bahawa sifat kedekut ini ada dalam diri manusia. Maka, awal-awal lagi Allah SWT telah memberikan pesanan, agar manusia tidak menjadi kedekut dalam kehidupannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka, bahkan ia adalah buruk bagi mereka. (Kelak) Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat. (ali Imran: 180)
Walau bagaimanapun, perangai kedekut ataupun bakhil ini masih mendominasi diri kebanyakan manusia, sehingga menyebabkan mereka merasa begitu sayang untuk menafkahkan harta kekayaan ke jalan-jalan kebajikan yang diredai Allah SWT.

Misalnya, apabila mahu memberikan sedekah maka mereka memilih wang yang kecil sahaja jumlahnya. Mereka merasa tidak malu kepada Allah SWT, kerana diberikan rezeki yang banyak, mampu membayar saluran televisyen berbayar, bil telefon dan pelbagai lagi sehingga ratusan ringgit sebulan misalnya. namun untuk memberi sedekah RM10 sebulan pun terlalu berkira-kira.

Rasulullah SAW ada mengingatkan kita di dalam sabda-Nya: “Jauhkanlah diri kamu daripada kebakhilan, kerana sifat bakhil itulah yang membinasakan orang-orang terdahulu. Sifat bakhil telah menyuruh mereka berbuat zalim, maka mereka melakukan perbuatan zalim. Sifat bakhil (juga) telah menyuruh mereka memutuskan tali kekeluargaan, maka mereka memutuskan tali kekeluargaan." (riwayat Abu Daud)

Apakah tidak zalim namanya kerana sanggup membelanjakan wang dan harta ke jalan yang sia-sia, berhibur siang dan malam, makan dan minum secara berlebihan, membeli pakaian mahal tanpa keperluan dan sebagainya lagi, sedangkan pada masa yang sama masih ada saudara-maranya, jiran tetangga malah kaum kerabatnya yang mungkin memerlukan bantuan.

Bukankah semua ini menzalimi dirinya kerana akan diheret ke neraka kerana melakukan pembaziran dan pada masa yang sama menzalimi orang lain yang memerlukan? Apakah tidak mungkin akan tercetusnya perasaan marah, benci dan sakit hati golongan ini andai mengetahui, wang si kaya dihamburkan tanpa sedikit pun diagihkan kepada mereka yang sering kelaparan dan kesusahan?

Kesimpulannya, perangai kedekut ini adalah penyakit hati yang amat merosakkan manusia, sama ada di dunia mahu pun akhirat. Malah, jika dikaji dengan lebih mendalam, masih banyak lagi kesan dan akibat buruk sifat kedekut ini ke atas diri manusia. Namun, untuk ruangan ini, rasanya apa yang dipaparkan di atas sudah memadai. Apa yang lebih utama, sudahkah kita bersedia untuk mengikis sifat kedekut dan belajar menjadi lebih pemurah dari sehari ke sehari? Wallahua’lam.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang persoalan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau untuk info lanjut boleh layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my/.


No comments:

Post a Comment