duit diut hehe

Monday, 8 April 2013

Remaja berperangai syaitan


TANPA berasa bersalah, seorang remaja yang menghadapi tuduhan membunuh tiga pelajar di sebuah sekolah, membuka baju kemeja lengan panjang bagi mendedahkan kemeja T putih yang ditulis dengan perkataan 'KILLER' (pembunuh).

Di mahkamah tersebut juga, dia bertindak biadap dengan menunjukkan isyarat lucah dan menghamburkan perkataan tidak senonoh dan kesat terhadap ahli keluarga mangsa.

Sikap kurang ajar T.J. Lane dari Ohio, Amerika Syarikat (AS) itu ditunjukkan pada 19 Mac lalu sebelum dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa dibenarkan parol bagi setiap tiga tuduhan bunuh.

Pada mulanya, remaja berusia 18 tahun itu memasuki mahkamah dengan memakai baju kemeja biru cair. 

Namun dia kemudian membuka baju tersebut untuk menunjukkan kemeja T putih yang tertera perkataan 'KILLER' yang ditulis dengan pen hitam di bahagian hadapannya.

Perbuatan keji Lane itu pantas membangkitkan kemarahan dan kutukan bukan sahaja ahli keluarga mangsa di mahkamah tetapi juga orang ramai di media-media sosial.

Laman Twitter dipenuhi dengan kiriman komen yang menyatakan mereka sungguh tidak percaya dan terkejut dengan peri laku Lane dengan kebanyakannya melabelkan remaja itu sebagai seorang yang 'jelik' dan 'bukan manusia'.

Hukuman berat tersebut dijatuhkan oleh mahkamah setelah Lane mengaku bersalah pada 26 Februari lalu atas tiga tuduhan membunuh, dua tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan dengan niat melakukan serangan.

Lane bagaimanapun bernasib baik apabila tidak dikenakan hukuman mati kerana berusia 17 tahun ketika kejadian tembakan tersebut.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Ian Friedman yang mewakili Lane memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak mahu pasukan pembelaan mengemukakan sebarang saksi, kenyataan atau sebarang bahan bukti bagi tujuan meringankan hukuman.

Apabila Lane diberi peluang bercakap di mahkamah, dia menunjukkan isyarat lucah dan menggunakan perkataan tidak senonoh sehingga menyebabkan orang ramai yang duduk di galeri awam mahkamah tersebut tergamam.

Lane turut ketawa dan tersenyum sinis apabila ahli keluarga mangsa memanggilnya sebagai seorang yang 'menjijikkan' dan berharap dia disumbat ke dalam kurungan 'seperti seekor binatang' seumur hidupnya.

''Terus-terang saya katakan, saya tidak bersedia untuk ini,'' ujar pihak pendakwaan selepas insiden tersebut.
Rangkaian televisyen ABC News melaporkan, Pendakwa Raya, James Flaiz berkata, tingkah laku Lane itu membuktikan bahawa remaja itu adalah seorang 'manusia yang jelik'.

''Dia masih enggan memberikan sebarang penjelasan mengapa dia melakukan pembunuhan tersebut. Satu-satunya penjelasan yang boleh saya nyatakan di mahkamah adalah dia merupakan seorang manusia berperangai syaitan,'' kata Flaiz.

Hakim David Fuhry yang mendengar kes itu turut menimbulkan persoalan berhubung motif serangan tersebut.

''Apa motif bagi serangan tanpa belas kasihan ini? Jawapannya, kita tidak tahu. Kita tidak diberitahu sama ada melalui jawapan yang jelas mahupun yang samar-samar.

''(Dia) menyerang tanpa motif, provokasi atau alasan. Mahkamah mendapati manusia seperti ini adalah sangat berbahaya,'' tegas Fuhry.

Dalam tragedi tersebut, Lane yang menggunakan senjata .22 calibre telah melepaskan tembakan di kafeteria di Chardon High School pada 27 Februari 2012 menyebabkan tiga pelajar maut.

Mangsa tersebut ialah Daniel Parmertor, 16, Demetrius Hewlin, 16, dan Russell King Jr., 17. Tiga pelajar lagi mengalami kecederaan parah dengan seorang daripadanya terpaksa memakai kerusi roda sepanjang hayatnya.

No comments:

Post a Comment